New Day, New Year with New Goal!!!!!!
 |
| Izma & 2 lovely kids |
|
|
|
BUKAN SUSAH UNTUK MEMBINA KASIH SAYANG
Setiap suami sebagai ketua keluarga pasti mengimpikan untuk membina
kehidupan yang bahagia dan harmoni bersama isteri tercinta. Pelbagai
usaha dilakukan agar perkahwinan yang dibina akan kekal utuh sehingga ke
akhir hayat. Ada sesetengah suami sanggup menghabiskan ribuan ringgit
demi untuk mengekalkan kasih sayang bersama isteri mereka namun
kadangkala kebahagian itu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Ada
masanya tindakan-tindakan yang kelihatan seperti remeh atau kecil
sebenarnya boleh memberi kesan yang lebih positif dalam memupuk kasih
sayang di antara suami dan isteri.
Pada dasarnya seorang suami wajib melayani isterinya dengan perilaku
yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dengan
syarak dari segi material dan spiritual. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang
paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik
antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - Hadis
riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, kitab al-Manaqib, hadis no:
3830.
Para suami hendaklah sering mencium isterinya. Budaya ini nampak seperti
agak asing bagi sesetengah masyarakat di nusantara. Namun, Nabi s.a.w
sering mengucup isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w
pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.
Aishah r.a berkata: "Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri
baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk." -
Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, hadis no: 153.
Justeru, apa lagi yang menghalang kita untuk mencium isteri kita
setidak-tidaknya sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja atau dalam
apa jua kesempatan yang ada? Adakalanya si suami langsung tidak
memandang wajah isterinya yang mengiringinya ke pintu rumah ketika
suaminya hendak keluar ke tempat kerja. Ciumlah isteri kamu wahai para
suami! Ikutlah sunnah Nabi s.a.w.
Rasulullah s.a.w juga merupakan seorang insan yang begitu romantis
terhadap isteri-isterinya hinggakan baginda selalu mandi bersama dengan
isterinya. Aisyah r.a berkata: "Aku biasa mandi berdua-duaan bersama
Rasulullah s.a.w menggunakan satu bekas air." - Hadis riwayat al-Bukhari
di dalam Sahihnya, hadis no: 250.
Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta
disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.a dengan gelaran
Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan bertujuan memuji
kecantikannya. Aisyah r.a juga pernah menggambarkan betapa romantis
baginda s.a.w sebagaimana riwayat berikut: "Suatu ketika aku telah
minum. Ketika itu aku sedang haid lantas aku memberikan gelasku kepada
Rasulullah dan baginda meminumnya dari kesan mulutku di gelas itu. Dalam
kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas aku memberikan
baginda potongan daging itu dan baginda memakannya tepat di tempat aku
memakannya." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 300.
Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat membahagiakan
Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis baginda
s.a.w ini.
Hidup tanpa gurau senda dan tawa riang pasti akan membosankan. Ternyata
Rasulullah s.a.w juga sering bergurau-senda dengan para isterinya.
Sebagai contoh, Aisyah r.a telah berkata: "Rasulullah berlumba lari
denganku, maka aku menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian,
setelah gemuk aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya.
Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang
lalu.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, hadis no: 2214.
Nabi s.a.w juga membenarkan nyanyian yang sesuai dengan syarak dilagukan
di rumah Aishah r.a. Aisyah r.a berkata: “Rasulullah s.a.w masuk ke
rumahku (pada hari raya) dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan
yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ats. Baginda langsung
berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya." - Hadis
riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, hadis no: 949.
Oleh itu, wahai suami! Bercandalah dengan isterimu. Jangan biarkan suasana di rumah anda menjadi bosan dan muram.
Walau sesibuk sekalipun mengurus tugasan hariannya, suami tetap perlu
berusaha meluangkan waktu bersama isterinya. Kadangkala, kesibukan suami
di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain disamping mencari nafkah
menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia lupa bahawa
isterinya memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan
hatinya. Adakalanya setelah penat dengan aktiviti di luar rumah suami
hanya pulang dengan wajah yang kelesuan, tidak bermaya dan hanya
menantikan disorong bantal untuk melelapkan mata. Yang lebih perit
adalah apabila suami membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan
geramnya terhadap isteri. Wahai para suami! Ingat Firman Allah S.W.T:
"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara
yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.
Nabi s.a.w juga pernah menasihati para sahabat r.a agar jangan terlalu
menyibukkan diri dengan ibadah sehingga mengabaikan tanggungjawab
melayani isteri dengan baik. Sabda Nabi s.a.w: "Wahai Abdullah (bin
‘Amr bin al-Ash r.a)! Adakah benar apa yang diceritakan kepadaku
sesungguhnya engkau telah berpuasa setiap hari dan solat sepanjang
malam? Aku (Abdullah bin ‘Amr) berkata: Benar wahai Rasulullah. Baginda
bersabda: Jangan kamu lakukan begitu. Berpuasalah dan tinggalkan (tidak
berpuasa) serta solat dan tidurlah kerana sesungguhnya badan kamu
mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas
kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu mempunyai
hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan dan
sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh
kali ganda yang sepertinya. Jika kamu melakukan begitu, ia seperti
berpuasa sepanjang masa.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya,
hadis no 1975.
Oleh itu, walau sesibuk mana sekalipun para suami dengan tugasan di luar
sama ada urusan mencari nafkah mahupun aktiviti dakwah, para isteri
tetap berhak mendapat perhatian serta belaian manja daripada para suami.
Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ia boleh
mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu
sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja
di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut.
Apatah lagi telah sabit perintah daripada Nabi s.a.w agar kita sentiasa
mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya: "Janganlah engkau
menganggap remeh perbuatan baik walau sedikit walau hanya menampakkan
wajah ceria ketika berjumpa dengan saudaramu." - Hadis riwayat Muslim di
dalam Sahihnya, hadis no: 2626.
Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali apa yang paling utama bagi
suami adalah menunjukkan wajah ceria kepada isteri tercinta. Di samping
mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga hendaklah menjaga
penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Ini adalah
penting demi menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri.
Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya memiliki penampilan
yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya.
Firman Allah S.W.T: "Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama
seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan
cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)." – Surah
al-Baqarah: 228.
Ibn Abbas r.a berkata: “Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku
sebagaimana aku senang jika isteriku berhias untukku.” Rentetan dari ini
maka para suami hendaklah berusaha kelihatan bergaya sehingga sedap
mata isteri memandang ke arahnya.
Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk
dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana
adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut
pandangan isteri. Tambahan pula ianya mudah untuk dipraktikkan serta
murah kerana perkara-perkara tersebut tidak memerlukan perbelanjaan yang
besar bahkan percuma sebenarnya.
No comments:
Post a Comment